Perlembagaan MBJ KKR

PERLEMBAGAAN MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ)

KEMENTERIAN KERJA RAYA

(MBJ KERJA RAYA)


1.     KEAHLIAN

1.1.  Majlis Bersama Jabatan bagi Kementerian Kerja Raya atau nama ringkasnya MBJ Kerja Raya (selepas ini disebut sebagai ‘Majlis’) hendaklah mengandungi Tiga Puluh Dua (32) orang ahli termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-Setiausaha. Ahli-ahli terdiri daripada Sepuluh (10) orang yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pegawai’) dan Dua Puluh Dua (22) orang ahli yang dipilih oleh Kesatuan Sekerja dan Persatuan-Persatuan Kakitangan yang mewakili pekerja-pekerja di Kementerian Kerja Raya, atau pekerja-pekerja itu sendiri (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pekerja’).

 

2.     PIHAK PEGAWAI

2.1.  Pihak Pegawai hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Kerja Raya seperti berikut:-

a.   PENGERUSI

      Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia

b.   PENGERUSI GANTI

  1. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya Malaysia
  2. Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kerja Raya Malaysia

c.   AHLI-AHLI

  1. Pengarah Cawangan Dasar Pengurusan Korporat, Jabatan Kerja Raya Malaysia
  2. Setiausaha Bahagian Bahagian Kewangan, Kementerian Kerja Raya Malaysia
  3. Setiausaha Bahagian Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya Malaysia
  4. Setiausaha Bahagian Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Kerja Raya Malaysia
  5. Setiausaha Bahagian Bahagian Perancangan Korporat, Kementerian Kerja Raya Malaysia
  6. Penasihat Undang-Undang Pejabat Penasihat Undang-Undang, Kementerian Kerja Raya Malaysia

d.   SETIAUSAHA BERSAMA

      Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya Malaysia

2.2.    Ahli-Ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah dilantik atas nama jawatan masing-masing. Pengerusi atas kuasa budi bicaranya boleh menambah atau mengurangkan bilangan keahlian bagi Pihak Pegawai.

 

3.     PIHAK PEKERJA

3.1.   Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja yang bukan merupakan Ketua Bahagian atau pembuat keputusan di Kementerian Kerja Raya. Ahli-ahli berkenaan dipilih oleh Kesatuan-Kesatuan/ Persatuan-Persatuan Kakitangan yang berdaftar yang mewakili pekerja-pekerja tersebut di Kementerian Kerja Raya atau pekerja-pekerja yang berkhidmat di Kementerian Kerja Raya.  Peraturan bagi memilih ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah dibuat mengikut peraturan-peraturan yang akan disediakan buat permulaannya oleh satu Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja di Kementerian Kerja Raya dan diluluskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

3.2.   Pemilihan wakil bagi ahli-ahli Pihak Pekerja adalah seperti berikut:-

a.   NAIB PENGERUSI

      Seorang (1) yang dipilih oleh ahli-ahli Pihak Pekerja.

b.   AHLI-AHLI

  1. Lima (5) orang Wakil Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU)
  2. Tiga (3) orang wakil Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani Dan Persekutuan Kerajaan (AUEGCAS)
  3. Tiga (3) orang wakil Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja JKR dan Air (NUPWDE)
  4. Seorang (1) wakil Perkhidmatan Persatuan Tadbir dan Diplomatik (PPTD)
  5. Seorang (1) wakil Kesatuan Pegawai Eksekutif Malaysia (KEPAK)
  6. Seorang (1) wakil Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia (KPAP)
  7. Dua (2) orang wakil bagi Kumpulan Sokongan II
  8. Seorang  (1) orang wakil bagi Skim Teknologi Maklumat F
  9. Seorang (1) orang wakil bagi Skim Sosial S
  10. Seorang (1) orang wakil bagi Skim Perundangan L
  11. Seorang (1) orang wakil bagi Pertubuhan Profesional JKR Malaysia (ProJKRM)
  12. Seorang (1) orang wakil bagi Pemandu
  13. Seorang (1) orang wakil bagi Pembantu Operasi

c.  SETIAUSAHA BERSAMA

      Seorang (1) yang dipilih oleh ahli-ahli Pihak Pekerja.

3.3.    Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada Kesatuan/Persatuan yang melantik wakil yang mengosongkan jawatan itu atau pekerja-pekerja itu sendiri.

3.4.    Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua (2) tahun mulai daripada tarikh pelantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik/ dipilih.

 

4.      PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS

4.1.   Pegawai-Pegawai Majlis adalah terdiri daripada:-

  1. Pengerusi - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia 
  2. Naib Pengerusi - Pengerusi Pihak Pekerja
  3. Setiausaha Bersama - Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja

 

5.      TUJUAN

5.1.    Tujuan Majlis adalah:-

  1. untuk membuka seluas-luas ruang dalam menjalin kerjasama di antara Kementerian Kerja Raya dengan pegawai-pegawai yang bergaji di Kementerian Kerja Raya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja yang berkenaan; dan
  2. untuk mewujudkan satu saluran khusus bagi menguruskan soal-soal mengenai syarat-syarat bekerja dan mengumpul maklumat, pandangan dan buah fikiran daripada pekerja-pekerja melalui wakil-wakil rasmi Kementerian Kerja Raya.

 

6.      BIDANG DAN FUNGSI

6.1.   Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk di dalam bidang kuasa Majlis seperti berikut:-

  1. membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali semua perkara mengenai pekerja-pekerja perseorangan;
  2. membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan bagi setiap tugas yang mereka jalankan;
  3. menggalakkan kakitangan mengambil bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat lebih pengetahuan mengenai pentadbiran pelbagai Jabatan; dan
  4. mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi pejabat serta menyediakan kaedah bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.

 

7.      MESYUARAT-MESYUARAT

7.1.   Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan tiga (3) bulan sekali, iaitu empat (4) kali setahun.

7.2.   Korum bagi mesyuarat Majlis hendaklah terdiri daripada lima (5) orang ahli Pihak Pegawai dan sebelas (11) orang ahli Pihak Pekerja.

7.3.   Agenda bagi mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-Setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda hanya boleh dimasukkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.

7.4.   Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi bila dikehendaki.Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh pegawai-pegawai Majlis.Perkara-perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis panggilan mesyuarat tersebut.

7.5.   Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis, maka ahli Pihak Pegawai terkanan boleh mempengerusikan mesyuarat. 

7.6.   Dalam apa keadaan sekalipun, Naib Pengerusi iaitu Pengerusi Pihak Pekerja tidak boleh mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis.

 

8.      KEPUTUSAN

8.1.   Segala keputusan Majlis hendaklah dicapai secara persetujuan di antara kedua-dua belah pihak.

8.2.   Keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan Jabatan-Jabatan lain dan tidak pula bertelingkah dengan dasar Kerajaan bolehlah diselenggarakan terus oleh Kementerian Kerja Raya. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun dengan Jabatan-Jabatan lain ianya hendaklah dirujukkan kepada Jabatan-Jabatan yang berkenaan ataupun kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

9.      PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN

9.1.   Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana satu mesyuarat Majlis dengan persetujuan  tidak kurang daripada 50% Pihak Pegawai dan 50% Pihak Pekerja.  Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat.

9.2.   Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai penggubal dasar boleh menetapkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat dan pertentangan di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja mengenai penggubalan dan pindaan perlembagaan Majlis. Segala keputusan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam adalah muktamad selari dengan kuasa yang diperuntukkan dalam perenggan 13 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992.

 

SEKRETARIAT

MAJLIS BERSAMA JABATAN

BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

KEMENTERIAN KERJA RAYA MALAYSIA

                     

Tarikh :  November  2014